此页面也可用于: 中文 (Chinese (Simplified))
KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di negara ini memiliki fasiliti aerodome yang akan digunakan bagi Kejohanan Badminton Masters Dunia Ke-26 dari 31 Oktober hingga 3 November 2019.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perolehan fasiliti itu membabitkan peruntukan RM2.6 juta sudah dibuat dan dijangka mula dipasang pada Julai ini di perkarangan parkir bersebelahan Stadium Negeri, Petra Jaya.
“Untuk menampung ketibaan pemain dan pegawai pasukan, kira memerlukan gelanggang yang cukup besar kerana gelanggang sedia ada tidak mencukupi.
“Justeru, kerajaan negeri bersetuju membina aerodome, malah ia tidak pernah dibina di negara kita sebelum ini, ….Sarawak yang pertama memilikinya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, aerodome adalah stadium tertutup buatan yang besar dan boleh menempatkan sekurang-kurangnya 20 gelanggang badminton dilengkapi pelbagai kemudahan berkaitan, termasuk pendingin hawa.
“Sebaik siap dibina, aerodome itu akan menjadi fasiliti sukan pelbagai guna untuk tujuan lain seperti bola jaring, futsal, bola keranjang dan acara seperti pameran serta persidangan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada Persekutuan Pertandingan Badminton China Dunia (WCBF) kerana memberi penghormatan kepada Kuching, Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan dunia itu.
“Kita menjangka seramai 3,000 pemain bukan profesional termasuk pegawai dari lebih 20 negara akan menyertai kejohanan ini,” katanya.
Bagi menjadikan kejohanan lebih menarik, Abdul Karim berkata, Kelab Badminton WCBF Sibu Sarawak akan bekerjasama dengan WCBF membawa bintang badminton seperti Datuk Lee Chong Wei, Taufik Hidayat dan Koo Kien Keat ke Sarawak.
Beliau berkata, kementeriannya juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan kejayaan penganjuran kejohanan itu.
“Kerajaan Sarawak bukan hanya melihat penganjuran kejohanan ini dari sudut sukan tetapi dari aspek pelancongan dan ia seiring dengan Kempen Tahun Melawat Sarawak 2019,” katanya.
This article first appeared in
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/02/534435/sarawak-miliki-aerodome-pertama-di-malaysia